Namun, kadangkala ada rungutan diterima untuk pelbagai isu tertentu. Paling ketara adalah soal kebajikan.
Jikalau dibandingkan dengan artis-artis yang muda, hal ini tentunya paling dirasai oleh golongan artis veteran tanah air kita.
Artis veteran kita sama ada tahu atau tidak mengenai hak, mereka sepatutnya bersama -sama mempunyai inisiatif untuk bersifat ingin tahu.
Tentu sekali bila semakin lama dalam industri, baru ramai yang tersedar bahawa kebajikan di hari tua juga penting.
Itu sebab mengapa dari awal, golongan artis perlu tahu di mana kedudukan dan bekalan mereka di hari tua agar tidak menganggap diri mereka terlepas pandang oleh pihak persatuan dan badan seni tertentu.
Realitinya, sekarang, ramai di kalangan artis veteran kita mengakui fakta bahawa mereka berdepan dengan kesukaran terutama apabila ditimpa musibah terutama sakit.
Sekurang-kurangnya, hal ini turut diakui oleh seniwati terulung tanah air, Datuk Dr. Sarimah Ahmad.
Berbicara lanjut, kata pelakon yang satu ketika dahulu cukup popular dengan siri lakonannya bersama Allahyarham Tan Sri P.Ramlee ini, sebagai artis veteran, dia tahu kekangan kewangan adalah satu isu yang amat dekat dengan artis veteran apabila mereka ditimpa musibah.
"Ambil contoh ketika saya jatuh sakit sebelum ini. Bukan sesuatu yang tidak diduga apabila saya tiba-tiba disahkan menghidap kanser otak, hidung dan lidah.
"Masa itu, memang susah. Kita nak dapatkan bantuan daripada persatuan. Bukan tak ada sumbangan.
"Tapi faham-faham sajalah, ia masih belum cukup untuk membiayai kos keseluruhan rawatan dan sebagainya.
"Di sini, saya sedar, bahawa artis veteran sebenarnya memang susah terutama ketika ditimpa sakit dan sebagainya, " katanya.
Pun begitu, Sarimah tidak mahu terus memeluk tubuh dan cuma mengharap pada bantuan orang semata.
Setelah tahap kesihatannya semakin pulih dengan mengamalkan perubatan moden dan alternatif, ibu tunggal yang berasal daripada Pulau Rusa, Pekan, Pahang ini berjuang untuk bangkit semula.
Mengumpul semangat yang tinggi dalam diri untuk berbakti pada teman-teman sezaman, Sarimah ada caranya tersendiri.
Ia terbukti apabila Sarimah kini bersedia meneroka bidang perniagaan menerusi pengenalan produk makanan kesihatan yang diasaskan olehnya di bawah syarikat Primadona Worldwide Sdn. Bhd.
Kata Sarimah, selepas merasai sendiri kehebatan produk ini, dia bersetuju untuk berkongsi keberkesanan dan manfaatnya dengan semua masyarakat.
"Saya mengendalikan perniagaan ini bukan untuk mencari nama atau populariti. Niat dan tujuan utama saya adalah untuk berkongsi dengan semua orang.
"Namun, dari satu sudut lain, ini juga adalah cara saya berbuat amal kepada artis veteran.
"Saya yakin, dengan penubuhan syarikat ini dan penjualan produk yang dibangunkan dengan teknologi dwi sel induk ini akan dapat saya gunakan demi membantu artis-artis veteran kita yang lain, " katanya.
Menurut Sarimah, usaha pertamanya sudah pun berjalan dan ia dapat dilihat melalui keikhlasannya memberi sumbangan kepada Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dalam Majlis Pelancaran Produk Primadona Worldwide di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sumbangan berjumlah RM3,000 itu kata Sarimah, tidak begitu besar, namun baginya ia adalah satu permulaan buatnya untuk meneruskan usaha murninya membantu artis veteran dengan cara perniagaan rangkaian produknya itu.
"Oleh kerana saya cukup memahami kesusahan artis veteran sebab saya seperti mereka, saya akan berusaha dengan cara ini untuk membantu rakan-rakan lain.
"Ia tidak semestinya menerusi bantuan kewangan. Mungkin selepas ini ia akan melibatkan pelbagai aktiviti lain.
"Lagipun, hasrat ini sudah lama saya simpan. Sejak dari dulu lagi saya mahu bantu rakan-rakan menerusi Karyawan," katanya.
Kejar masaDalam pada itu, kongsi Sarimah lagi, dia juga punya sebab mengapa dia mahu agresif dalam penjualan produk ini di pasaran.
"Saya tak punya banyak masa. Jadi saya perlu kejar masa agar benda ni berjalan.
"Saya juga mahu agar produk ini berpanjangan sampai ke anak cucu selain mengharapkan agar pasukan yang berada di dalam syarikat ini akan terus berusaha.
"Jadi untuk mencapai kecemerlangan pada masa depan, apa pun yang kita buat, ia perlu bermula sekarang.
"Kalau saya tak mula sekarang, macam mana saya nak bantu rakan-rakan lain. Kita tidak tahu apa akan berlaku. Sekarang saya masih kuat dan semangat saya juga kuat untuk mencurah bakti sementara waktu masih ada, " katanya menutup bicara.